Terima kasih kepada tuan pengerusi
majlis,
Yang berusaha Ahli Jawatankuasa ‘Badan’
TRJ,
yang dihormati ahli-ahli dan penduduk Taman Rengas Jaya keseluruhannya.
Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah
SWT, kerana dengan limpah dan kurnianya, maka pada tahun ini, sekali lagi kita
dapat berkumpul di Perkarangan Surau Nur Al Hidayah ini, untuk sama-sama
menjalankan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Dan Keselamatan Penduduk-Penduduk
Perumahan Taman Rengas Jaya, untuk kali yang Ke-7 bagi sesi 2014/2015, pada
malam ini.
Terlebih dahulu, saya ucapkan terima
kasih kepada semua ahli yang dapat hadir ke mesyuarat agung kali ke-7 pada
malam ini. Saya juga ingin mengucapkan
takziah kepada Pengerusi Taman kita serta keluarga, iaitu YM Raja Ahmad Bin
Raja Ludin, yang kini sedang sakit dirumahnya di No. 98 Taman Rengas Jaya. Beliau, tidak dapat berjalan dan tidak hadir
bersama kita bermesyuarat pada malam ini atas faktor kesihatannya tadi. Sama-samalah kita, memanjatkan doa, agar
beliau cepat sembuh.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sepertimana yang kita semua sedia
maklum, Mesyuarat Agung Tahunan seperti ini diadakan setiap tahun seperti yang
tertakluk dalam Perlembagaan Persatuan dan bagi memenuhi peruntukan yang telah
ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Badan Kebajikan Dan Keselamatan
Penduduk-Penduduk Perumahan Taman Rengas Jaya ini, telahpun menjangkau usia 10
tahun, iaitu bermula dari tahun 2005, setelah setahun bergerak sebagai
Jawatankuasa Penaja Badan. Bermula dari
itu hinggalah tahun 2013 yang lalu, pelbagai aktiviti dan program telah
dirancang dan dijalankan oleh Badan kita dengan kerjasama sepenuhnya daripada
ahli, badan korporat, ahli politik dan badan-badan kerajaan. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan itu
adalah demi kepentingan dan kebajikan keseluruhan penduduk TRJ ini terutamanya
bagi ahli berdaftar dan beryuran.
Walaupun kita semua, samada AJK atau Ahli biasa, masing-masing mempunyai
tugas dan tanggungjawab hakiki, namun kesediaan semua untuk sama-sama
menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit, menjadikan Badan kita ini akan terus
relevan dan berfungsi untuk semua penduduk.
Atas kepercayaan dan sokongan daripada
penduduk, ahli serta AJK terdahulu juga, maka pada hari ini Badan kita telah
mendapat peruntukan GERAN sebanyak RM9990.00 daripada pihak Jabatan Pertubuhan Pendaftaran
kerana Badan Kita telah dikategorikan sebagai salah satu daripada Persatuan-Persatuan
Penduduk, bertaraf ‘Kelas A’ yang aktif
di Negeri Perak khasnya dan di Malaysia amnya. JPP sentiasa membuat pemantauan pergerakan semua persatuan penduduk di Malaysia bagi
memastikan ianya berjalan dengan lancar terutamanya Badan kita ini, kerana
ianya boleh diakses melalui blog taman yang sentiasa dikemaskini
sekurang-kurangnya sebulan sekali (kecuali sekiranya ada masalah teknikal atau masalah yang tak dapat dielakkan). Segala perjalanan aktiviti Badan telah
dimuatnaik ke laman blog tersebut oleh Setiausaha Badan sejak 2010 lagi dan
ianya boleh di akses juga oleh semua individu di seluruh dunia. (Tuan puan juga boleh melihat melayari laman blog kita untuk mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah kita jalankan).
Melalui peruntuk GERAN tersebut, kita telah
diperuntukkan dengan kelengkapan pentadbiran dan peralatan rodaan malam seperti sebuah kontena sebagai pejabat
atau pusat pentadbiran Badan, 3 Unit Walkie-Talkie, Kon keselamatan,
Vest(jaket) keselamatan atas nama Badan Kebajikan Dan Keselamatan TRJ, lampu
suluh, visel dan peti kecemasan, serta lain-lain barangan dan peralatan
sokongan. Terima kasih kita ucapkan
kepada pihak JPP diatas sumbangan Geran tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Jawatankuasa Badan kita melalui
kerjasama Jawatankuasa Surau Nur Al Hidayah yang dipengerusikan oleh En.
Mohamad Bin Razali, telah Berjaya menjalankan aktiviti gotong-royong menambahbaik
struktur tambahan surau dan membersih kawasan Surau, gotong royong memasak
dibulan puasa, gotong royong mega membersihkan taman dan menjalankan aktiviti gotong
royong memasak bagi majlis berbuka puasa serta jamuan moreh disebelah malamnya
selepas sembahyang terawih. Berkenaan
moreh berbuka puasa, pada tahun lalu, disamping moreh daripada ahli ahli Badan,
Surau kita juga mendapat sumbangan moreh daripada YTL Simen, Pasaraya Borong
Sakan dan daripada YB Dato’ Siti Salmah Binti Mat Jusak. Terima kasih kita ucapkan kepada mereka yang
telah memberikan sumbangan tersebut. Semoga pada tahun ini kita juga akan
mendapat sumbangan daripada mereka seperti tahun yang lalu.
Badan Kita juga, Berjaya mengadakan
Majlis Sambutan Hari Raya untuk kali ke 3 pada tahun 2013 yang lalu (yang mana
kita pernah mengadakan majlis yang sama buat kali pertama, pada tahun 2005 yang
lalu dan pada tahun 2011). Kita juga Berjaya mengadakan aktiviti sembahyang
sunat hari raya puasa dan sembahyang sunat hari raya haji di surau kita
sendiri. Disamping itu, aktiviti
mingguan membaca yasin pada setiap malam jumaat dan kelas pengajian sebanyak 2
kali sebulan bersama Ustaz Mizan di surau berjalan dengan lancar. Pengajian jemputan khas juga berjaya diadakan
sekurang kurangnya sebulan sekali iaitu pada hari sabtu malam minggu. Badan
kita juga dengan sokongan ahli dan penduduk telah berjaya mengadakan gotong
royong Majlis Qurban ahli yang terlibat sebanyak 2 kali, iaitu pada tahun 2010
dan 2012. In Sha Allah tahun ini juga mungkin akan diadakan majlis qurban
dengan kos 1 bahagian sebanyak RM500.00 dengan cara bayarannya sebanyak 3 kali
bayar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Berkenaan dengan keselamatan pula, Badan
kita, juga telah menyertai KRT Padang Rengas melalui Skim Rondaan Sukarela TRJ
bersama SRS Taman Seri Permai dan SRS Pekan Padang Rengas yang diketuai oleh
Pengerusi kita YM Raja Ahmad Bin Raja Ludin.
Melalui rondaan berjadual kecil yang kita jalankan, sekurang-kurangnya
dapat mengurangkan kadar jenayah dikawasan Padang Rengas ini terutamanya di
TRJ. Disini saya menyeru agar ahli dan
penduduk dapat memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Badan dalam menjalankan
rondaan kawasan TRJ demi menjaga keselamatan Taman Kita. Utamakan keselamatan Taman kita dahulu,
kemudian barulah kita bergerak bersama KRT Padang Rengas.
Akhirnya, saya berharap apa jua
aktiviti dan progam yang kita akan jalankan nanti, akan mendapat sambutan dan sokongan
yang padu daripada semua ahli. Disamping itu,
ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita dalam mewujudkan
kesejahteraan serta keharmonian bersama antara ahli, AJK dan penduduk TRJ.
Saya bagi pihak seluruh AJK
pentadbiran BKDKPP Taman Rengas Jaya sesi 2013/2014 ingin memohon kemaafan
daripada semua ahli sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang kami
menjalankan tanggungjawab untuk tempoh setahun yang lalu. Sekali lagi saya merakamkan penghargaan yang
tidak terhingga kepada barisan jawatankuasa dan semua ahli Badan yang telah
banyak bekerjasama dan membantu saya/kami dalam menerajui persatuan ini.
Harapan saya, sesiapa
sahaja yang akan terpilih dalam jawatankuasa pada malam ini, agar dapat
menerajui pentadbiran Badan dengan sebaik mungkin. Akhir kata, Semoga Allah
sentiasa memberkati setiap usaha baik yang kita lakukan demi kebajikan,
kebaikan dan kepentingan bersama. Terima kasih dan Selamat bersidang.
Dicatat Oleh:
 |
Setiausaha |