SELAMAT DATANG KE TAMAN RENGAS JAYA

SELAMAT DATANG KE TAMAN RENGAS JAYA

Selamat Datang

Rabu, 19 Mac 2014

SENARAI AHLI JAWATAN KUASA BARU TRJ 2014 / 2015

Penaung:
Y.B. Dato' Siti Salmah Binti Mat Jusak


Pengerusi:

En. Sanushi Bin Shahariman


Timbalan Pengerusi:
En. Salmisom Bin Anjang Othman


Setiausaha:
En. Kamarul Zaman Bin Yaakub


Penolong Setiausaha:
Pn. Nor Azmah Binti Awang Minhaj


Bendahari:
Pn. Khairani Aza Binti Mohd Ali


Ahli Jawatan Kuasa:
En. Mohd Sabrie Bin Mohd Salleh
En. Zainuddin Bin Itam Mohd Nor
En. Jasni Bin Mohd Zain
En. Jalil Bin Alang @ Jamal
En. Mohd Zaidi Bin Rosdi
Pn. Khuzaimah Binti Brahim
Pn. Norhashimah Binti Abdul Hamid


Pemeriksa Kira-Kira:
En. Mohamad Bin Razali
Pn. Hjh. Roziah Binti Ismail

Selasa, 18 Mac 2014

UCAPAN TIMBALAN PENGERUSI PADA MESYUARAT AGUNG TRJ KE 7


Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis,
Yang berusaha Ahli Jawatankuasa ‘Badan’ TRJ,
yang dihormati ahli-ahli dan penduduk Taman Rengas Jaya keseluruhannya.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT, kerana dengan limpah dan kurnianya, maka pada tahun ini, sekali lagi kita dapat berkumpul di Perkarangan Surau Nur Al Hidayah ini, untuk sama-sama menjalankan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Dan Keselamatan Penduduk-Penduduk Perumahan Taman Rengas Jaya, untuk kali yang Ke-7 bagi sesi 2014/2015, pada malam ini.

Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli yang dapat hadir ke mesyuarat agung kali ke-7 pada malam ini.  Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada Pengerusi Taman kita serta keluarga, iaitu YM Raja Ahmad Bin Raja Ludin, yang kini sedang sakit dirumahnya di No. 98 Taman Rengas Jaya.  Beliau, tidak dapat berjalan dan tidak hadir bersama kita bermesyuarat pada malam ini atas faktor kesihatannya tadi.  Sama-samalah kita, memanjatkan doa, agar beliau cepat sembuh.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Mesyuarat Agung Tahunan seperti ini diadakan setiap tahun seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persatuan dan bagi memenuhi peruntukan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Badan Kebajikan Dan Keselamatan Penduduk-Penduduk Perumahan Taman Rengas Jaya ini, telahpun menjangkau usia 10 tahun, iaitu bermula dari tahun 2005, setelah setahun bergerak sebagai Jawatankuasa Penaja Badan.  Bermula dari itu hinggalah tahun 2013 yang lalu, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang dan dijalankan oleh Badan kita dengan kerjasama sepenuhnya daripada ahli, badan korporat, ahli politik dan badan-badan kerajaan.  Kebanyakan aktiviti yang dijalankan itu adalah demi kepentingan dan kebajikan keseluruhan penduduk TRJ ini terutamanya bagi ahli berdaftar dan beryuran.  Walaupun kita semua, samada AJK atau Ahli biasa, masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab hakiki, namun kesediaan semua untuk sama-sama menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit, menjadikan Badan kita ini akan terus relevan dan berfungsi untuk semua penduduk.

Atas kepercayaan dan sokongan daripada penduduk, ahli serta AJK terdahulu juga, maka pada hari ini Badan kita telah mendapat peruntukan GERAN sebanyak RM9990.00 daripada pihak Jabatan Pertubuhan Pendaftaran kerana Badan Kita telah dikategorikan sebagai salah satu daripada Persatuan-Persatuan Penduduk, bertaraf  ‘Kelas A’ yang aktif di Negeri Perak khasnya dan di Malaysia amnya.  JPP sentiasa membuat pemantauan pergerakan semua persatuan penduduk di Malaysia bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar terutamanya Badan kita ini, kerana ianya boleh diakses melalui blog taman yang sentiasa dikemaskini sekurang-kurangnya sebulan sekali (kecuali sekiranya ada masalah teknikal atau masalah yang tak dapat dielakkan).  Segala perjalanan aktiviti Badan telah dimuatnaik ke laman blog tersebut oleh Setiausaha Badan sejak 2010 lagi dan ianya boleh di akses juga oleh semua individu di seluruh dunia. (Tuan puan juga boleh melihat melayari laman blog kita untuk mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah kita jalankan).

Melalui peruntuk GERAN tersebut, kita telah diperuntukkan dengan kelengkapan pentadbiran dan peralatan rodaan  malam seperti sebuah kontena sebagai pejabat atau pusat pentadbiran Badan, 3 Unit Walkie-Talkie, Kon keselamatan, Vest(jaket) keselamatan atas nama Badan Kebajikan Dan Keselamatan TRJ, lampu suluh, visel dan peti kecemasan, serta lain-lain barangan dan peralatan sokongan.  Terima kasih kita ucapkan kepada pihak JPP diatas sumbangan Geran tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Jawatankuasa Badan kita melalui kerjasama Jawatankuasa Surau Nur Al Hidayah yang dipengerusikan oleh En. Mohamad Bin Razali, telah Berjaya menjalankan aktiviti gotong-royong menambahbaik struktur tambahan surau dan membersih kawasan Surau, gotong royong memasak dibulan puasa, gotong royong mega membersihkan taman dan menjalankan aktiviti gotong royong memasak bagi majlis berbuka puasa serta jamuan moreh disebelah malamnya selepas sembahyang terawih.  Berkenaan moreh berbuka puasa, pada tahun lalu, disamping moreh daripada ahli ahli Badan, Surau kita juga mendapat sumbangan moreh daripada YTL Simen, Pasaraya Borong Sakan dan daripada YB Dato’ Siti Salmah Binti Mat Jusak.  Terima kasih kita ucapkan kepada mereka yang telah memberikan sumbangan tersebut. Semoga pada tahun ini kita juga akan mendapat sumbangan daripada mereka seperti tahun yang lalu.

Badan Kita juga, Berjaya mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya untuk kali ke 3 pada tahun 2013 yang lalu (yang mana kita pernah mengadakan majlis yang sama buat kali pertama, pada tahun 2005 yang lalu dan pada tahun 2011). Kita juga Berjaya mengadakan aktiviti sembahyang sunat hari raya puasa dan sembahyang sunat hari raya haji di surau kita sendiri.  Disamping itu, aktiviti mingguan membaca yasin pada setiap malam jumaat dan kelas pengajian sebanyak 2 kali sebulan bersama Ustaz Mizan di surau berjalan dengan lancar.  Pengajian jemputan khas juga berjaya diadakan sekurang kurangnya sebulan sekali iaitu pada hari sabtu malam minggu. Badan kita juga dengan sokongan ahli dan penduduk telah berjaya mengadakan gotong royong Majlis Qurban ahli yang terlibat sebanyak 2 kali, iaitu pada tahun 2010 dan 2012. In Sha Allah tahun ini juga mungkin akan diadakan majlis qurban dengan kos 1 bahagian sebanyak RM500.00 dengan cara bayarannya sebanyak 3 kali bayar.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Berkenaan dengan keselamatan pula, Badan kita, juga telah menyertai KRT Padang Rengas melalui Skim Rondaan Sukarela TRJ bersama SRS Taman Seri Permai dan SRS Pekan Padang Rengas yang diketuai oleh Pengerusi kita YM Raja Ahmad Bin Raja Ludin.  Melalui rondaan berjadual kecil yang kita jalankan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kadar jenayah dikawasan Padang Rengas ini terutamanya di TRJ.  Disini saya menyeru agar ahli dan penduduk dapat memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Badan dalam menjalankan rondaan kawasan TRJ demi menjaga keselamatan Taman Kita.  Utamakan keselamatan Taman kita dahulu, kemudian barulah kita bergerak bersama KRT Padang Rengas.

Akhirnya, saya berharap apa jua aktiviti dan progam yang kita akan jalankan nanti, akan mendapat sambutan dan sokongan yang padu daripada semua ahli.  Disamping itu, ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita dalam mewujudkan kesejahteraan serta keharmonian bersama antara ahli, AJK dan penduduk TRJ.

Saya bagi pihak seluruh AJK pentadbiran BKDKPP Taman Rengas Jaya sesi 2013/2014 ingin memohon kemaafan daripada semua ahli sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang kami menjalankan tanggungjawab untuk tempoh setahun yang lalu.  Sekali lagi saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan jawatankuasa dan semua ahli Badan yang telah banyak bekerjasama dan membantu saya/kami dalam menerajui persatuan ini.

Harapan saya, sesiapa sahaja yang akan terpilih dalam jawatankuasa pada malam ini, agar dapat menerajui pentadbiran Badan dengan sebaik mungkin. Akhir kata, Semoga Allah sentiasa memberkati setiap usaha baik yang kita lakukan demi kebajikan, kebaikan dan kepentingan bersama. Terima kasih dan Selamat bersidang.
Dicatat Oleh:
Setiausaha